House Rules

PERATURAN DALAMAN (HOUSE RULES)
PANGSAPURI SUBANG SURIA

BAHAGIAN I: KESELAMATAN

KESELAMATAN KAWASAN
Penghuni diminta untuk menjaga keselamatan unit (rumah) sendiri. Sekiranya anda ingin meninggalkan rumah, pastikan pintu berkunci. Sila laporkan kepada pihak keselamtan JMB Subang Suria dan balai polis yang berhampiran sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti pecah rumah, kecurian barang dan seumpama dengannya.

PEMASANGAN GRIL KESELAMATAN
Anda dinasihatkan agar menjaga keselamatan unit masing-masing misalnya dengan memasang gril keselamatan pada pintu, tingkap dan yard. Bagaimanapun, bagi menjaga keindahan bangunan dan untuk menentukan keseragaman, gril keselamatan hendaklah mengikut reka bentuk yang ditetapkan. Sila hubungi pihak pengurusan Badan Pengurusan Subang Suria untuk menyemak reka bentuk yang dibenarkan.

BAHAGIAN II: KEBERSIHAN

KEBERSIHAN KAWASAN BERSAMA
Kerja-kerja menyenggarakan kebersihan di kawasan bersama akan dikendalikan oleh syarikat/pekerja yang dilantik oleh pihak pengurusan. Sila beri kerjasama kepada mereka agar tugas mereka dapat dijalankan dengan sempurna. Apa-apa aduan mengenai ketidaksempurnaan tugas yang dijalankan hendaklah dikemukakan kepada pihak pengurusan menggunakan borang aduan yang disediakan.

PEMBUANGAN SAMPAH
Anda dilarang sama sekali membuang sampah di merata-rata. Sekiranya pihak pengurusan mendapat aduan berkenaan unit anda, pihak pengurusan akan membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tentukan sampah dibuang dengan sempurna seperti memasukkannya dengan baik dalam beg plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah di 16 buah bilik sampah yang telah disediakan oleh pihak pengurusan. Barang-barang lusuh yang besar seperti perabot atau alat elektrik hendak tidak dibuang di bilik sampah tetapi hendaklah dibuang di tempat pembuangan pusat sampah yang telah disediakan tong sampah skip oleh pihak pengurusan. Anda bertanggungjawab melupuskannya sendiri melalui cara yang sesuai. Sekiranya didapati barang-barang lusuh tersebut dibiarkan di kawasan bersama, pihak pengurusan akan melupuskannya dan kos akan dituntut daripada penghuni petak berkenaan.

Anda juga dilarang membuang sampah di kawasan ‘airwell’ (kawasan di sebelah dapur) bagi mengelakkan sistem paip tesumbat dan boleh mengakibatkan pembiakan nyamuk.

Bagi pemilik dan penyewa kiosk,dobi dan tadika pula, anda tidak dibenarkan membuang sisa-sisa makanan, lemak dan sebagainya ke dalam longkang untuk mengelakkan berlakunya sumbatan yang juga akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

BAHAGIAN III: PENGGUNAAN DAN PENJAGAAN HARTA BERSAMA

Harta bersama meliputi bahagian bangunan dan tanah di mana bangunan yang tidak termasuk dalam sebarang petak atau petak aksesori dan baki lot yang tidak terkandung dalam mana-mana blok sementara.

Contoh harta bersama ialah papan notis, tangga, koridor, tong sampah, bilik sampah, rumah sampah, kawasan longkang, tangki air, pembetung, paip, wayar, kabel dan saluran yang memberi kemudahan kepada lebih daripada satu petak; bahagian luar semua bahagian bersama bangunan, surau, dewan serbaguna, parkir kereta, parker motosikal, lift, pejabat pengurusan, rumah/pondok kawalan keselamatan, padang permainan dan kawasan rekreasi, jalan masuk, ruang terbuka, kawasan landskap, dan segala kemudahan dan pemasangan lain dan mana-mana bahagian tanah yang digunakan atau boleh digunakan atau dinikmati bersama oleh semua penghuni bangunan itu.

Kerjasama anda adalah dipohon untuk menentukan harta bersama dapat dijaga dengan baik agar kita dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dan tiada seorang pun daripada kita dinafikan daripada menikmati kemudahan tersebut. Dengan itu anda atau mana-mana orang yang menjadi penghuni bersama atau tetamu anda DILARANG daripada melakukan perkara yang berikut:

1. Merosakkan atau mencacatkan mana-mana bahagian harta bersama;
2. Membiarkan binatang belaan atau ternakan di luar unit masing-masing sehingga mengganggu atau menimbulkan kemarahan penghuni lain;
3. Memasak atau mengadakan jamuan atau apa-apa majlis di kawasan bersama tanpa mendapat kelulusan pihak pengurusan;
4. Menyidai pakaian seperti di balkoni, tingkap atau koridor sehingga merosakkan pandangan kawasan;
5. Membuat bising sehingga mengganggu penghuni lain;
6. Menggunakan perkataan atau mempamerkan perilaku yang menimbulkan kemarahan panghuni lain atau yang memalukan;
7. Meletakkan kereta, motorsikal atau apa-apa jenis kenderaan lain tidak ditempat yang dikhaskan;
8. Meletakkan tanda arah, menampal poster atau notis di mana-mana bahagian harta bersama tanpa kebenaran pihak pengurusan;
9. Mengubah lokasi mana-mana struktur atau bahagian harta bersama seperti yang telah disebutkan di atas;
10. Membiarkan tetamu atau pelawat menggunakan kemudahan harta bersama seperti padang permainan atau yang seumpamanya tanpa diiringi oleh penghuni. Penghuni bertanggungjawab ke atas kerosakan atau kecacatan yang disebabkan oleh tetamu atau pelawat mereka dan perlu memaklumkan jabatan keselamatan atau pihak pengurusan segera;
11. Membiarkan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun menggunakan kemudahan harta bersama tanpa diiringi oleh ibu bapa atau orang dewasa;
12. Berpakaian tidak sopan atau tidak sesuai semasa berada di kawasan luar daripada unit sendiri.
13. Dilarang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian unit kediaman pada hari ahad, cuti umum dan selepas waktu pejabat.
PENGGUNAAN SURAU
1. Kepada umat Islam khasnya, penting bagi kita menjaga kebersihan surau;
2. Menjaga peralatan dan harta benda surau;
3. Padamkan lampu dan kipas setelah selesai menggunakan surau;
4. Tutup pili air selepas habis berwuduk; dan
5. Sentiasa laporkan kepada pihak pengurusan sekiranya terdapat sebarang kerosakan.

PENGGUNAAN DEWAN SERBAGUNA
1. Kepada penghuni yang ingin menggunakan dewan perlu membuat tempahan kepada pihak pengurusan dan diperlu mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan
2. Menjaga peralatan dan harta benda dewan;
3. Padamkan lampu dan kipas setelah selesai menggunakan dewan;
4. Sila pastikan dewan berada dalam keadaan asal selepas digunakan;
5. Laporkan kepada pihak pengurusan sekiranya terdapat sebarang kerosakan.

PENGGUNAAN PARKIR
1. Kepada pemilik kenderaan anda hanya dibenarkan membawa masuk satu buah kenderaan sahaja (tidak termasuk motosikal) ke dalam kawasan premis.
2. Kenderaan perdagangan yang bukan milik penduduk pangsapuri subang suria adalah dilarang sama sekali parkir di dalam kawasan pemilik (premis ).
3. Kepada pemilik bas sekolah atau peniaga yang mempunyai lebih dari satu kenderaan. Anda dibenarkan masuk ke kawasan premis atau pangsapuri subang suria hanya untuk menaikkan atau menurunkan barang dan penumpang sahaja. Anda tidak dibenarkan parkir di dalam premis ( untuk keadilan kepada semua pemilik )
4. Kepada pemilik motosikal anda dihendaki menyusun kenderaan anda dengan teratur dikawasan parkir motosikal yang disediakan.
5. Pemilik premis adalah dilarang sama sekali parkir dikawasan yang dicat garisan kuning, ini adalah untuk kemudahan jika berlaku kecemasan (Bomba, Polis dan Ambulan) .Tindakan akan diambil oleh pihak pengurusan jika pemilik didapati engkar.
6. Keselamatan dan kerosakkan kenderaan adalah tanggungjawab pemilik

BAHAGIAN IV: PENJAGAAN UNIT INDIVIDU

Sebagai pembeli petak atau penyewa, anda bertanggungjawab menjaga dan menyelenggara petak atau unit masing-masing. Sekiranya anda menyewakan atau menyerahkan unit anda untuk diduduki oleh orang lain, anda bertanggungjawab memaklumkan kepada pihak pengurusan beberapa maklumat tentang penyewaan ini seperti nama penyewa atau penghuni, bilangan isi rumah dan tempoh penyewaan. Anda juga bertanggungjawab memaklumkan segera kepada pihak pengurusan apabila berlaku pertukaran penyewa atau penghuni.

Untuk menjaga keselamatan dan mengekalkan keharmonian komuniti kita, anda dipohon untuk mematuhi beberapa peraturan berikut dan pastikan juga mereka yang menghuni unit anda diberitahu tentang peraturan-peraturan ini.

1. Menjaga dan menyelenggara unit masing-masing dan menjalankan kerja-kerja pembaikan yang sewajarnya dari semasa ke semasa agar unit sentiasa dalam keadaan baik dan selamat daripada kebakaran dan bencana lain yang boleh dikawal, Pihak pengurusan hanya menguruskan penyelenggaran kawasan harta bersama sahaja;
2. Menggunakan unit hanya untuk tujuan yang ditetapkan dalam syarat-syarat penggunaan unit dan perjanjian jual beli. Pihak pengurusan akan melaporkan kepada plhak berkuasa berkenaan jika didapati unit digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang;
3. Tidak menggunakan dan membenarkan unit digunakan untuk suatu maksud yang boleh menyebabkan berlakunya kacau ganggu atau bahaya kepada mana-mana penghuni lain atau keluarga penghuni itu;
4. Tidak menggunakan bahan api atau apa-apa bahan atau material yang boleh mendatangkan asap atau wasap (fumes) atau bau yang buruk;
5. Tidak membuang atau membenarkan jatuh, apa-apa kotoran atau sampah atas harta bersama;
6. Tidak membuat apa-apa pemasangan yang boleh merosakkan pandangan atau sesuatu tindakan yang boleh menyebabkan halangan atau kacau ganggu, misalnya memasang antena TV di tempat yang tidak sesuai atau menyimpan barang persendirian di kawasan harta bersama seperti di tepi koridor, tangga atau tempat letak kereta atau kawasan lapang lain;
7. Tidak menyebabkan keadaan bising atau apa-apa keadaan yang keterlaluan sehingga boleh mengganggu jiran atau penghuni lain;
8. Melaksanakan segera tindakan atau apa-apa kerja yang diarahkan oleh mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan dengan unit dan membayar segala taksiran, caj dan belanja pasti yang kena dibayar berkenaan dengan unit berkenaan; dan
9. Membenarkan pihak pengurusan atau mana-mana orang yang diberi kuasa untuk memasuki unit individu untuk tujuan yang berikut:

i. Memeriksa unit berkenaan;
ii. Menyenggara, membaiki atau membaharui paip, wayar, kabel dan saluran yang digunakan atau boleh digunakan berkaitan dengan penikmatan mana-mana petak lain atau harta bersama;
iii. Menyelenggara, membaiki dan membaharui harta bersama; atau
iv. Melaksanakan apa-apa tindakan yang perlu bagi atau berkaitan dengan pelaksanaan tugas pihak pengurusan atau penguatkuasaan undang-undang atau peraturan yang melibatkan unit atau bangunan.
v. Pihak pengurusan akan mengeluarkan notis tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tindakan berkenaan dilakukan, kecuali dalam hal kecemasan yang memerlukan tindakan segera.

BAHAGIAN V: KERJA-KERJA PENAMBAHAN DAN PENGUBAHSUAIAN

Tertakluk kepada Perjanjian Jual dan Beli, anda boleh membuat tambahan atau pengubahsuaian pada unit anda. Bagi menentukan kerja-kerja tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur, anda dipohon untuk mematuhi beberapa peraturan berikut:

1. Kerja-kerja penambahan atau pengubahsuaian mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan;

2. Sebelum kerja-kerja tersebut dimulakan, salinan pelan yang diluluskan hendaklah diserahkan kepada pihak pengurusan;

3. Bagi kerja-kerja tambahan atau pengubahsuaian yang melibatkan pendawaian elektrik dan bekalan air atau yang tidak memerlukan kelulusan pihak berkuasa, kelulusan perlu diperoleh daripada pengurusan sebelum kerja-kerja dimulakan (Peraturan yang lebih terperinci dan khusus kepada kerja-kerja berkenaan boleh dimasukkan dalam surat kelulusan);

4. Pengawasan rapi hendaklah dilakukan untuk menentukan kerja-kerja yang dijalankan tidak menjejaskan struktur bangunan atau harta bersama serta tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penghuni lain;

5. Bertanggungjawab ke atas apa-apa kecacatan atau kerosakan pada bangunan atau harta bersama yang disebabkan oleh kerja-kerja ini;

6. Tidak melibatkan pihak pengurusan dalam apa-apa prosiding undang-undang yang berbangkit. Untuk maksud ini anda perlu menandatangani satu surat jaminan sebelum kerja-kerja dimulakan;

7. Memastikan bahawa sekiranya berlaku apa-apa kerosakan atau kecacatan pada bangunan atau harta bersama, ia hendaklah diperbaiki dengan sempurna. Sekiranya pihak pengurusan tidak berpuas hati, pihak pengurusan berhak melantik kontraktor menyempurnakan kerja-kerja ini dan kosnya akan dibuat ke atas anda;

8. Memastikan bahawa semua barang terbuang atau sampah dilupuskan segera dengan sempurna. Sekiranya pihak pengurusan tidak berpuas hati dengan cara pelupusan ini, pihak pengurusan berhak melantik kontraktor menyempurnakan kerja-kerja pelupusan ini dan kosnya akan ditolak daripada wang deposit dan jika tidak mencukupi tuntutan ke atas tambahan ini akan dibuat ke atas anda.

9. Dilarang membuat sebarang pengubahsuaian atau pembinaan yang melibatkan kawasan milik bersama.

10. Dilarang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian unit kediaman atau kedai pada hari ahad, cuti umum dan selepas waktu pejabat.

BAHAGIAN VI: TINDAKAN KEGAGALAN PEMBAYARAN CAJ PENYELENGGARAAN.


Mana-mana pemilik premis tanpa apa-apa sebab yang munasabah, gagal atau enggan membayar caj penyenggaraan dan pengurusan akan dikenakan tindakan seperti berikut:

1. PEMOTONGAN BEKALAN AIR DAN SEKATAN KAD ACCESS

i. NOTIS PERTAMA akan dikeluarkan dalam tempoh Empat Belas (14) hari kepada pemilik premis yang mempunyai jumlah tunggakan caj penyelenggaraan melebihi Tiga (3) bulan. Nama pemilik premis akan di PAMIRKAN di papan kenyataan setiap blok, dewan dan pejabat pengurusan.
ii. NOTIS KEDUA akan dikeluarkan dalam tempoh Tujuh (7) hari sebagai peringatan terakhir disusuli jika pemilik masih lagi gagal membayar. Pemotongan bekalan air dan ‘Pekatan Kad Access’ akan dilaksanakan oleh pihak pengurusan tanpa sebarang notis lagi selepas 7 hari notis dikeluarkan.
iii. Senarai nama yang terlibat juga dimajukan ke Pesuruhajaya Bangunan MBSA (COB) untuk tindakan selanjutnya.
iv. Tindakan ‘pemotongan bekalan air’ ke premis dan ‘Sekatan Kad Access’ akan dilaksanakan pada bila-bila masa mengikut jadual iaitu pada lima (5) hari bekerja kecuali Sabtu,Ahad dan cuti umum, dan di antara 10 pagi hingga 3 petang.
SYARAT-SYARAT PENYAMBUNGAN SEMULA BEKALAN AIR
i. Pemilik premis perlu menjelaskan bayaran pertama sekurang-kurangnya 30% dari jumlah keseluruhan caj penyelenggaraan terbaru yang tertunggak setelah notis dikeluarkan (NOTIS PERTAMA).
ii. Pemilik perlu menjelaskan bayaran sebanyak RM15.00 bagi menyambung semula setiap pemotongan bekalan air (meter).
iii. Bagi pemilik premis yang mempunyai tunggakkan caj penyelenggaraan melebihi 3 bulan, bayaran ansuran minima bagi setiap bulan RM200.00 tidak termasuk caj penyelenggaraan semasa.
iv. Bagi pemilik premis yang mempunyai tunggakkan caj penyelenggaraan kurang dari 3 bulan, bayaran ansuran minima bagi setiap bulan RM50.00 tidak termasuk caj penyelenggaraan semasa
v. Bagi pemilik premis yang membuat penyambungan bekalan air semula secara tidak sah (mencuri air), pihak pengurusan akan mengambil tindakan undang undang ke atas pemilik premis tersebut.


SYARAT-SYARAT KAD ACCESS

i. Setiap pemilik premis akan diberikan Satu (1) sahaja Kad Access Pertama secara percuma.

ii. Jika berlaku sebarang kerosakan ke atas kad access maka bayaran RM30.00 akan dikenakan.

iii. Jika berlaku sebarang kehilangan ke atas kad access maka bayaran RM50.00 akan dikenakan dan perlu disertakan dengan laporan polis.

iv. Laporan kehilangan atau kerosakan kad access hendaklah dilaporkan kepada pihak pengurusan dalam tempoh tiga (3) hari waktu berkerja.

v. Setiap urusan permohonan akibat perkara di atas sila rujuk pejabat pengurusan.



BAHAGIAN VII: PINDAAN PERATURAN DALAMAN

1. Pihak pengurusan berhak untuk meminda, mengubah atau menukar mana-mana peraturan yang dinyatakan di atas dari masa ke semasa jika perlu.